parenting

Benarkah Tidak Darurat Sekarang ??


Ada seorang ibu yang mempertikaikan Bayan Linnas yang dikeluarkan oleh Mufti WP berkenaan dengan kewajiban memberikan vaksin. Beliau bertanya, adakah kita darurat sekarang?
Untuk menjawab soalan tersebut, kami berikan beberapa fakta terkini mengenai penyakit Campak (Measles) di seluruh dunia:

MALAYSIA
Peningkatan penyakit Measles (Campak) adalah sebanyak 891.8% pada tahun 2018 berbanding dengan 2013. Manakala kadar total liputan vaksin MMR di Malaysia sehingga tahun 2017 hanyalah 88% sahaja. Untuk Imuniti Kelompok (Herd Immunity) berkesan, kita perlukan kadar liputan vaksin MMR melebihi 95%. Maknanya ada kawasan - kawasan di negara ini yang lebih terdedah kepada serangan wabak Measles. Negeri seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak mempunyai liputan vaksin yang terendah (59.6%, 83.8% dan 76.1%).

USA
Dilaporkan sehingga 14 Feb 2019 terdapat 127 kes Measles di US, yang dikaitkan dengan beberapa rakyat US yang melawat Israel dan Ukraine di mana berlaku wabak yang besar di negara - negara tersebut.

FILIPINA
Laporan terkini menyatakan seramai 8400 kes Measles berlaku di negara tersebut ekoran dari keengganan ibubapa membenarkan anak mereka untuk divaksin. Sehingga kini lebih dari 130 kanak - kanak kecil telah terkorban akibat Measles.

MADAGASCAR
Negara miskin ini mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 66,000 pesakit sejak awal Oktober 2018 hingga kini dan hampir 1000 yang kebanyakannya kanak - kanak telah menemui ajal. Hampir 4 dari 10 kanak - kanak di situ tidak menerima vaksin MMR. Mereka bukannya menolak vaksin, tetapi akibat dibelenggu kemiskinan yang teruk, mereka tidak mampu mendapatkan vaksin tersebut. Tambahan pula, masalah malnutrisi menimpa sehingga 47% dari kanak - kanak berumur kurang dari 4 tahun di negara itu. Inilah akibatnya apabila terlalu ramai kanak - kanak yang miskin, kebuluran dan tidak mendapat imunisasi, maka terlalu mudah untuk penyakit seperti Measles merebak seolah kejadian wildfire di hutan yang kering di musim kemarau.
Kalian perlu hadam dengan fakta ini. Sesuatu yang merisaukan mengenai Measles adalah, cirinya yang amat mudah berjangkit. Anda boleh mendapat jangkitan jika berada sebilik dengan pesakit Measles. Virus Measles amat mudah merebak melalui batuk, bersin malah apabila pesakit Measles bercakap dengan kita kerana sifat virusnya yang bergerak melalui udara. Anda boleh mendapat jangkitan Measles jika berada di tempat yang sama walaupun pesakit itu sudah dua jam meninggalkan tempat tersebut. Begitu mudah ia berjangkit.

Jadi, apakah kaitannya dengan Malaysia? Bukankah KKM masih belum mewartakan outbreak atau wabak Measles di negara kita?

Kalian jangan lupa. Kita hidup bermasyarakat dan di zaman ini kita mudah bergerak dari satu negara ke negara yang lain. Di klinik penulis sahaja, hampir setiap minggu menerima pekerja dari Filipina yang membuat ujian kesihatan FOMEMA. Rakyat kita juga banyak berjalan ke negara - negara lain, dan tidak mustahil untuk mendapat jangkitan dari US ataupun negara Eropah. Jadi tidak mustahil untuk penyakit itu melanda negara kita.

Tambahan pula, vaksin MMR memerlukan tempoh 10 hingga 14 hari untuk berkesan. Ini juga bergantung kepada badan setiap individu untuk menghasilkan antibodi terhadap virus Measles. Bayangkan jika kalian menunggu sehingga diwartakan darurat, barulah tersedar untuk mengambil vaksin, maka terdapat tempoh tingkap (window period) sebelum ianya berkesan. Bayangkan jika anak anda terkena jangkitan ketika tempoh tingkap tersebut. Bukankah anda telah merisikokan penyakit Measles kepada anak sendiri? Sedangkan boleh saja anak anda mengambil vaksin itu sekarang, sementara masa masih menunggu kita. Malah badan sudah bersedia untuk menghadapi serangan Measles di masa akan datang. Mencegah adalah sentiasa lebih baik dari mengubati.

Bersyukurlah kerana negara kita tidak semiskin Madagascar. Ada ibu bapa di sana yang terdesak sehingga sanggup menaiki bas selama 24 jam jauhnya untuk mencari bekalan vaksin MMR untuk anak mereka, namun hampa apabila diberitahu bahawa stok vaksin di situ sudah kehabisan. Bayangkan betapa hancurnya hati ibu bapa itu. Begitu mudahnya kehidupan kita di negara ini. Sukar untuk mencari anak - anak yang kebuluran. Perkhidmatan perubatan pula sentiasa ada apabila kita memerlukan dengan harga semurah RM1 sahaja.

Oleh itu, marilah menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan memberikan vaksin kepada anak - anak kita. “Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (QS. Al Maidah: 32)


Rujukan:
American Academy of Pediatrics. Measles. In: Pickering L, Baker C, Kimberlin D, Long S, eds. Red Book: 2009 Report of the Committee on Infectious Diseases. 28th ed. Elk Grove Village, IL: American Academy of Pediatrics, 2009:444–55

Pautan:

Measles Cases and Outbreaks

Philippines: Measles outbreak kills more than 130

Clamour for vaccines as measles outbreak kills nearly 1,000 children in Madagascar

Hong Kong reports 3 imported measles from the Philippines


Sumber : Ini Sains Beb

No comments:

Post a Comment

| Designed by Colorlib