pregnancy

Uri Di Bawah Atau Plasenta Previa, Apa Yang Wanita Perlu Tahu



Plasenta previa, atau uri di bawah ialah kedudukan uri yang berada di pertengahan bawah rahim. 
Ini menyebabkan pembukaan serviks (bahagian rendah rahim yang menuju ke faraj) tersekat atau separa tersekat.
Plasenta adalah organ yang berfungsi sebagai sistem sokongan hidup pada janin yang sedang berkembang dengan membawa oksigen dan makanan dari ibu kepada bayi.
Ia juga menyingkirkan sisa-sisa dari darah bayi.
Plasenta adalah tempat asal di mana tali pusat bayi mula berkembang dan melekat pada dinding rahim.
Sekiranya ibu hamil mengalami plasenta atau uri rendah, ini boleh menghalang pembukaan serviks semasa bersalin dan ibu itu perlu melahirkan anak melalui pembedahan.
uri dibawah

Terdapat 3 jenis plasenta previa.
  • Previa penuh di mana pembukaan serviks tertutup sepenuhnya.
  • Previa separa di mana plasenta merangkumi sebahagian daripada serviks.
  • Previa marginal di mana plasenta meliputi ke pinggir serviks.
Walaupun plasenta previa boleh didiagnosis seawal 12 minggu kehamilan, anda tidak perlu risau kerana keadaan ini biasanya hanya didiagnosis selepas 20 minggu.
Namun, hampir 90% daripa kes, plasenta ibu hamil akan berubah ke kedudukan normal sebelum kelahiran. Apabila rahim semakin membesar, plasenta akan naik lebih tinggi dalam rahim dan jauh dari serviks.
Sekiranya ini tidak berlaku, risiko pendarahan ibu boleh berlaku.
Dalam kes teruk yang jarang berlaku, histerektomi (pembedahan untuk membuang rahim) mungkin diperlukan untuk mengawal pendarahan.

Tanda dan gejala uri di bawah atau plasenta previa

Pendarahan

  • Ini  salah satu tanda yang tidak patut diabaikan. Apabila masuk trimester kedua, ibu hamil perlu memastikan tiada pendarahan faraj kerana ini tanda plasenta previa.
  • Darah yang keluar biasanya merah terang dan tidak menyakitkan. Pendarahan itu mungkin sedikit atau lebih banyak dan mungkin berlaku apabila anda batuk, selepas melakukan kerja berat, ataupun selepas hubungan seks.
  • Walaupun mengikut kebiasaan, pendarahan akan berhenti sendiri, ia mungkin akan kembali selepas beberapa hari atau beberapa minggu.
  • Kekejangan 

Kita jarang dengar ibu hamil dalam kesakitan, tapi sesetengah wanita mungkin akan mengalami kekejangan perut.

Punca dan faktor risiko

Kita tidak tahu apakah punca plasenta previa, tapi faktor-faktor berikut mungkin boleh menyumbang:
  • Faktor Uterus. Parut pada lapisan uterus. Ini biasanya disebabkan oleh pembedahan  rahim sebelum ini contohnya pembedahan untuk menghilangkan fibroid (ketumbuhan bukan barah yang berkembang pada dinding rahim).
  • Faktor Plasenta. Kedudukan plasenta ada hubungan secara langsung dengan tempat pertumbuhan embrio dalam rahim. Oleh itu, embrio yang tumbuh pada kedudukan rendah akan menyebabkan plasenta rendah juga. Faktor plasenta lain termasuklah plasenta yang lain daripada biasa, contohnya kes kehamilan kembar.
Dalam bukunyaThe Mother of All Pregnancy Books, Ann Douglas menyatakan kekerapan plasenta previa berlaku adalah sebanyak “2.8 dari setiap 1000 kehamilan tunggal” dan “3.9 dari setiap 1000 kehamilan kembar”.
Wanita paling mudah terdedah kepada plasenta previa jika mereka:
  • Ada sejarah keguguran, pengguguran atau pelbagai dilatasi dan kuretaj (prosedur pembersihan rahim)
  • Jalani pembedahan caeser (risiko ini akan meningkat dengan setiap pembedahan)
  • Ada parut endometrium (membran mukus yang menyaluti rongga rahim) dari plasenta previa sebelum ini
  • Telah ada beberapa anak
  • Lebih dari 35 tahun
  • Kehamilan terlalu dekat
  • Merokok
  • Mengambil dadah kokain

Komplikasi plasenta previa atau uri di bawah

Komplikasi yang mungkin timbul daripada plasenta previa lengkap tidak boleh dipandang ringan.
Pakar Singapura Dr Iswaran Subrahmanyam, Sai Association Clinic Pte Ltd, berkata plasenta previa adalah “komplikasi yang sangat serius dan boleh menyebabkan kematian”.
Bidan terkemuka Amerika Ina May Gaskin juga memberi amaran plasenta previa lengkap adalah “salah satu komplikasi yang paling berbahaya yang boleh berlaku semasa kehamilan.”
Komplikasi-komplikasi ini termasuklah:
  • Kelahiran pramatang. Jika berlakunya pendarahan yang teruk atau yang tidak dapat dikawal sebelum tempoh tamat kehamilan, bayi perlu dikeluarkan dengan segera melalui pembedahan.
  • Kelahiran pramatang boleh menyebabkan bayi dengan berat lahir rendah dan masalah pernafasan.
  • Histerektomi. Plasenta previa juga boleh menyebabkan pendarahan yang mengancam nyawa semasa dan selepas kelahiran sehingga memerlukan transfusi darah.
  • Dalam 10% kes plasenta previa yang lengkap, histerektomi akan diperlukan untuk mengawal pendarahan.

Rawatan dan ubat untuk plasenta previa

Plasenta previa bukan sejenis penyakit atau jangkitan yang boleh disembuhkan dengan ubat. Anda mungkin diberi ubat untuk mencegah berlakunya kelahiran pramatang supaya kehamilan anda boleh dilanjutkan sehingga minggu ke-36.
Sekiranya anda perlu melahirkan anak lebih awal, anda mungkin diminta untuk mengambil suntikan steroid untuk menguatkan paru-paru bayi anda.
Anda juga perlu mengikut langkah-langkah pencegahan di bawah dengan teliti:
  • Elakkan senaman atau aktiviti berat
  • Elakkan hubungan seksual
  • Elakkan pemeriksaan pelvis
  • Elak dari mengangkat objek yang berat
  • Rehat atas katil
  • Rehat katil hospital (untuk pendarahan berat)
  • Transfusi darah (jika kehilangan darah yang banyak)
  • Jangan mencuci atau membersihkan faraj dengan semburan air atau campuran lain (douching)
Sekiranya pendarahan berterusan atau bayi anda mula menunjukkan tanda-tanda komplikasi, pembedahan kecemasan Caeser penting untuk memastikan keselamatan anda dan anak anda.

Sumber : theasianparents.com

No comments:

Post a Comment

| Designed by Colorlib